Quantcast
Channel: HOK SENGOTI
Viewing all articles
Browse latest Browse all 140

CONTOH TEKS UCAPAN PERASMI MAJLIS ANUGERAH KOKURUKULUM

$
0
0

1.      Alhamdulillah, setinggi ucapan kesyukuran dipanjatkan ke hadrat Ilahi kerana pada pagi yang berbahagia ini saya berpeluang untuk kembali ke alma mater yang telah lama saya tinggalkan bagi menjayakan Majlis Anugerah Kokurikulum S.T.A.R tahun 2013. Pada kesempatan ini, saya juga ingin mengucapkan ribuan terima kasih kepada pihak sekolah kerana sudi menjemput saya untuk merasmikan majlis pada pagi ini. Tahniah dan syabas kepada pihak sekolah atas pelbagai kejayaan seperti mana yang telah disebutkan oleh tuan pengetua sebentar tadi. Pada hemat saya,  kejayaan-kejayaan yang dicapai sudah tentulah hasil daripada gemblengan tenaga dan kolaborasi daripada pihak pengurusan sekolah, guru-guru, pelajar dan tidak dilupakan juga sokongan utuh daripada PIBG dan bekas-bekas pelajar (STAROBA) yang sentiasa mahukan S.T.A.R berada pada kedudukan terbaik dalam dunia pendidikan negara.

2.      Pada hari yang berbahagia ini, saya lebih teruja untuk membawa anak-anak menyelusuri sebuah institusi pendidikan yang dibina pada tahun negara kita mencapai kemerdekaan. Walaupun ketika saya memasuki S.T.A.R pada tahun 1968,  sekolah ini baru saja berusia 11 tahun, saya mendapati bahawa sekolah ini memiliki tradisi dan legasi kecemerlangan yang sangat hebat, serta mempunyai etos yang tersendiri, yang pada ketika itu hanyalah dipelopori oleh sekolah-sekolah tinggalan penjajah Inggeris seperti Sekolah Menengah King Edward , Sekolah Menengah Anderson dan sekolah golongan bangsawan seperti MCKK. Pada pendapat saya, tradisi, legasi serta etos yang diwarisi pelajar-pelajar daripada generasi ke generasi inilah yang telah berjaya membentuk sebuah sekolah yang sentiasa cemerlang dan sentiasa berada di barisan hadapan.

3.      Apabila saya secara rasmi dilantik  sebagai Menteri Pendidikan II, saya telah menyarankan kepada Bahagian Pengurusan Sekolah Berasrama Penuh Dan Sekolah Kecemerlangan, Kementerian Pendidikan Malaysia untuk mengangkat beberapa sekolah terpilih, antaranya S.T.A.R, menjadi sekolah yang bertaraf dunia. Saya tertarik dengan nama-nama sekolah hebat di Britain seperti Eton School yang hendak kita jadikan penanda arasataupun‘bench mark’ untuk SBP.  Walau bagaimanapun, persoalannya mampukah kita hendak bersaing dengan sekolah-sekolah yang mengenakan yuran yang tinggi kepada pelajar-pelajar? Mampukah kita bersaing dengan sekolah yang  mempunyai insfrastruktur yang serba lengkap dan yang melaksanakan pelbagai program dengan mengenakan yuran yang tinggi?. Maka, bagi sekolah-sekolah hebat seperti S.T.A.R seharusnya bergerak dengan lebih pantas bagi menangani cabaran untuk mencapai Standard Sekolah Bertaraf Dunia. Saya yakin, dengan kesungguhan dan iltizam seluruh warga S.T.A.R, menyahut cabaran ini bertunjangkan Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2013-2015, hasrat murni ini pasti akan membuahkan hasilnya.

4.      Justeru, saya berbesar hati untuk berkongsi dengan hadirin sekalian TUJUH elemen yang bakal membolehkan S.T.A.R mencapai standard Sekolah Bertaraf Dunia. Elemen paling penting yang ingin saya tekankan ialah kualiti pelajar yang ingin kita hasilkan. Kita mungkin meletakkan KPI kejayaan kemenjadian pelajar kepada bilangan yang mendapat “Straight A+” dalam peperiksaan umum seperti Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).  Walau bagaimanapun, S.T.A.R perlu meletakkan satu lagi KPI yang lebih tinggi iaitu berapa ramaikah pelajar yang mendapat gred cemerlang itu berupaya untuk mendapat biasiswa daripada badan-badan berkanun serta syarikat korporat yang hebat seperti MARA, JPA, TNB, Khazanah, Bank Negara, Petronas, Telekom, Maybank dan sebagainya.  Alhamdulillah saya difahamkan pada tahun ini, seorang pelajar S.T.A.R iaitu Muhammad Aiman Sabeh, telah berjaya meraih Biasiswa Kijang Emas, iaitu biasiswa tertinggi yang dianugerahkan oleh  Bank Negara. Pelajar-pelajar S.T.A.R perlu menguasai lebih daripada dua bahasa supaya dapat berkomunikasi dengan warga dunia, selain sebagai nilai tambah untuk bersaing dalam pasaran kerja . Ini selaras dengan hasrat Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM)  yang  setiap pelajar digalakkan mempelajari bahasa tambahan supaya dapat membantu mereka menyertai tenaga kerja global. Begitu juga, mulai 2016, mata pelajaran Bahasa Inggeris akan dijadikan kertas wajib lulus di peringkat Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).

5.      Perkara yang kedua adalah dari aspek pengurusan sistem pembelajaran. Pemerhatian saya mendapati bahawa pelajar-pelajar di Malaysia ini keseluruhannya lebih berorientasikan peperiksaan. Pembelajaran sepanjang hayat dan proses  Pembelajaran dan Pengajaran (PdP) yang mana guru sepatutnya bertindak selaku fasilitator perlu lebih luas diamalkan dengan menekankan konsep “independent learning’ agar pelajar dapat menguasai kemahiran seperti ‘soft skill’ dengan lebih baik dan berkesan. Keadaan ini jugalah menyebabkan Penilaian Berasaskan Sekolah (PBS)  diperkenalkan . Menurut Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia, menjelang tahun 2016,  Pentaksiran Berasaskan Sekolah (PBS) akan dirombak secara berperingkat, soalan berbentuk pemikiran aras tinggi akan merangkumi sekurang-kurangnya 40 peratus daripada soalan dalam Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) dan sekurang-kurangnya 50 peratus daripada soalan dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).

6.      Seterusnya  bagi elemen ketiga ialah hubungan dan jalinan dengan kumpulan sokongan. Aspek ini penting dalam menilai kemampuan sesebuah Sekolah Bertaraf Dunia. Kita turut melihat aspek jaringan dan jalinan yang mampu diadakan oleh sesebuah sekolah. Saya melihat dalam konteks S.T.A.R, sudah ada dua impak jalinan yang cukup besar iaitu STAROBA dan PIBG yang sentiasa sedia membantu. Dan kini, Yayasan Tun Hamdan juga turut memainkan peranan dalam membantu kejayaan S.T.A.R. Di samping itu, jaringan dan jalinan dengan Institusi Pengajian Tinggi yang berkualiti dari dalam dan luar negara perlu ditingkatkan agar pelajar dapat diberikan bimbingan daripada tenaga sumber manusia yang berkualiti tinggi dan hubungan ini perlulah bersifat hubungan jangka panjang.  

7.      Elemen  keempat adalah dari segi struktur pengurusan sekolah. Seperti yang semua sedia maklum, pengurusan sekolah di Malaysia bersifat ‘centralised’ yakni segala arahan datangnya dari Kementerian Pendidikan diturunkan kepada Jabatan Pendidikan Negeri, Bahagian Pengurusan Sekolah Berasrama Penuh Dan Sekolah Kecemerlangan seterusnya kepada PPD. Pada pandangan saya,  sekolah seperti S.T.A.R, autonomi yang lebih luas wajar diberikan kepada pengurusan sekolah supaya dapat mencorakkan perjalanan  sekolah yang lebih sesuai dengan kepentingan sekolah,  kerana tidak semestinya semua arahan sesuai untuk dizahirkan di SBP seperti S.T.A.R. Sebagi contoh, dalam soal pemilihan mata pelajaran sekolah boleh dibenarkan membuka aliran selain daripada aliran sains, kerana sudah tentu kebolehan dan kemampuan para pelajar adalah berbeza.

8.      Elemen  kelima ialah berkaitan dengan kualiti guru di sekolah. Pengetua seharusnya diberi kuasa penuh untuk menentukan pemilihan guru-guru yang berkualiti untuk ditempatkan di Sekolah Bertaraf Dunia.  Kementerian Pendidikan sentiasa berusaha untuk memantapkan kualiti guru di sekolah. Melalui PPPM 2013-2025, syarat kelayakan kemasukan guru ditingkatkan supaya terdiri daripada kalangan graduan 30 peratus terbaik. Pihak Kementerian Pendidikan Malaysia sedang berusaha untuk mengurangkan beban tugas pentadbiran guru-guru supaya boleh menumpukan sebahagian besar masa mereka kepada fungsi teras iaitu PdP.

9.      Seterusnya akses kepada mediadan sumber pengetahuan perlulah diberikan seluas mungkin kepada pelajar dengan kawalan kepada sumber-sumber yang boleh memberi impak negatif. Sumber pengetahuan ini bukan hanya terbatas kepada internet dan buku-buku di pusat sumber tetapi apa yang lebih penting ialah pelajar Sekolah Bertaraf Dunia ini perlu ada sikap suka membaca untuk menambahkan ilmu pengetahuan. Pembacaan tidak hanya terbatas kepada bahan ilmiah tetapi turut melibatkan bahan yang boleh membentuk kreativiti pelajar. Dengan pembacaan dan akses kepada media, para pelajar diharap mampu untuk memilih dan menerokai bidang-bidang baharu dalam pekerjaan. Menjelang akhir 2013, kerjaya perkhidmatan kaunseling dan akademik akan dimasukkan ke dalam jadual waktu sekolah menengah untuk membantu pelajar membuat pilihan bermaklumat mengenai pelbagai laluan pendidikan yang ditawarkan.

10.    Seterusnya perwatakan dan ‘outcome’ sekolah perlulah berjaya memberi impak kepada komuniti. Walaupun pada dasarnya S.T.A.R telah berjaya mengadakan “The Pulling Factor” kepada  masyarakat untuk menghantar anak-anak mereka belajar di S.T.A.R namun S.T.A.R perlu menjauhkan diri daripada sifat ‘regional’ iaitu peratusan bilangan pelajar hanya daripada kalangan mereka yang tinggal dalam daerah berdekatan. STAR seharusnya berjaya menarik perhatian lebih ramai pelajar dari daerah-daerah yang lebih jauh untuk turut sama membuat permohonan. Faktor utama ibu bapa memilih S.T.A.R bukanlah kerana S.T.A.R ini berada berdekatan dengan rumah   mereka tetapi sebaliknya S.T.A.R menjadi pilihan kerana S.T.A.R ialah sekolah yang terbaik dan ibu bapa khasnya mengetepikan faktor jarak dalam menempatkan anak-anak mereka di sini. S.T.A.R juga seharusnya mempunyai rekod yang lebih sistematik dan lengkap dalam menelusuri perkembangan bekas pelajar yang telah berjaya dibentuk di S.T.A.R. Hal ini sebenarnya bukti nyata kemenjadian pelajar S.T.A.R yang boleh menjadi daya tarikan kepada masyarakat. Kemampuan untuk memasarkan sekolah khususnya ke peringkat yang lebih tinggi wajar dibuat walaupun pasaran sekolah seperti S.T.A.R ini hanya terhad kepada pasaran dalam negara. Namun, aspek ini wajar dikembangkan agar dapat membentuk pelajar untuk berdaya saing ke pasaran dunia.

11.    Saya amat percaya jika tradisi , legasi dan etos yang telah sekian lama tersemai dalam institusi bernama Sekolah Tuanku Abdul Rahman ini terus dipertahankan, Insya Allah, S.T.A.R akan terus berada di saf hadapan sekolah-sekolah di Malaysia dan tidak mudah diganggu gugat oleh institusi-institusi  lain. Saya juga percaya, dalam memastikan kejayaan 7 elemen menjana Sekolah Bertaraf Dunia tadi   aspek kolaborasi antara pentadbir, guru-guru, pelajar-pelajar, PIBG serta bekas pelajar perlu sentiasa diperkasakan.

12.    Pada kesempatan ini juga saya ingin memaklumkan bahawa permohonan S.T.A.R berkaitan Projek Naik Taraf dalam Rancangan Malaysia Kesembilan (RMK-9) dalam pengetahuan dan perhatian khusus saya, selaku menteri yang bertanggungjawab. Sama-samalah kita mendoakan agar projek ini akan diluluskan dan seterusnya akan memberikan impak yang besar terhadap perkembangan dan pembangunan S.T.A.R pada masa akan datang.

13.    Saya mengambil kesempatan ini sekali lagi untuk mengucapkan tahniah kepada seluruh warga S.T.A.R atas kejayaan-kejayaan yang telah dicapai pada tahun 2013. Saya percaya bahawa kejayaan para pelajar semua dalam bidang kokurikulum ini tidak akan hadir tanpa usaha dan kerja keras semua pihak termasuklah guru-guru, jurulatih dan sudah tentulah para pelajar yang begitu bersemangat dalam menaikkan nama Sekolah Tuanku Abdul Rahman yang kita cintai ini.
 
14.    Saya mendoakan semoga S.T.A.R terus menjadi sekolah yang ternama serta berjenama unggul. Akhirnya,  dengan lafaz Bismillahirrahmanirrahim, saya dengan ini dengan penuh takzimnya merasmikan Majlis Anugerah Kokurikulum S.T.A.R  bagi tahun 2013.


Sekian. Terima kasih.



Viewing all articles
Browse latest Browse all 140