KUALA LUMPUR 3 April - Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini (3 April 2013) membubarkan Parlimen bagi membolehkan Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13) diadakan dalam tempoh 60 hari.
Perkara itu diumumkan Perdana Menteri dalam ucapan khasnya yang disiarkan secara langsung menerusi televisyen dari pejabatnya, di sini hari ini.
Sementara itu, empat negeri di bawah pentadbiran pembangkang iaitu Kedah, Pulau Pinang, Kelantan dan Selangor dilaporkan sepakat membubarkan DUN masing-masing serentak dengan Parlimen.
Setakat ini, hanya DUN Negeri Sembilan terbubar secara automatik pada 28 Mac 2013 apabila tempoh mandat lima tahunnya berakhir tengah malam sebelumnya, sekali gus mencatat sejarah pembubaran DUN pertama secara automatik di Negara ini.
Pembubaran itu berdasarkan Undang-undang Tubuh Kerajaan Negeri di bawah Fasal 56(3) yang menyatakan Dewan Negeri berjalan selama lima tahun dari tarikh mesyuarat pertama dan kemudiannya dibubarkan kecuali dibubarkan terlebih dahulu.